SEPANJANG tahun ini, terdapat banyak yang diperkatakan mengenai keperluan perkakasan baharu untuk memanfaatkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk pengguna.

Presiden NVIDIA, Jensen Huang mengatakan bahawa kuasa komputer yang dibeli sekitar 5-6 tahun lalu tidak mencukupi untuk menguasakan teknologi kecerdasan buatan yang dibangunkan sekarang.

Malah, syarikat-syarikat seperti Humane dan Rabbit telah memperlihatkan aksesori AI mereka sendiri untuk membolehkan orang ramai tidak begitu bergantung kepada peranti pintar sekiranya mereka hanya mahu menggunakan fungsi kecerdasan buatan untuk menanyakan soalan, dan apa-apa fungsi lain yang memerlukan kebolehan kecerdasan buatan.

Sam Altman, CEO dan pengasas OpenAI yang membangunkan ChatGPT mempunyai pendapat yang berbeza.

Beliau berkata peranti pintar dan juga komputer riba yang dilancarkan baru-baru ini cukup bagus untuk keperluan kecerdasan buatan sedia ada.

Tidak kira sama ada anda akan memerlukan sambungan internet, selular ataupun pemprosesan kecerdasan buatan dalam peranti, beliau mengatakan bahawa peranti-peranti sedia ada sudahpun bersedia untuk masa hadapan di mana kecerdasan buatan akan menjadi sebuah fungsi biasa yang akan digunakan oleh orang ramai.

Perkara ini juga bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Syarikat-syarikat pembuat CPU seperti Intel dan AMD baru memperkenalkan cip pemprosesan yang hadir dengan pemproses kecerdasan buatan terbina, dan Apple juga dilihat akan membangunkan cip pemprosesan dengan kemampuan yang sama untuk produk-produk MacBook mereka tidak lama lagi.

Sam Altman, yang berada di kampus Cambridge bercakap mengenai sebuah teknologi AI baharu yang sedang dibangunkan yang mengetahui tentang sebarang emel yang diterima, dan mendengar semua perbualan yang dilakukan.

Ia dapat dilihat sebagai penaiktarafan kepada pembantu digital sedia ada, yang boleh menjawab sebarang pertanyaan yang anda mungkin ada untuk diri anda, dan anda tidak perlu membeli satu peranti khusus untuk teknologi kecerdasan buatan ini.

OpenAI juga dilihat mahu membangunkan cip neural tersendiri mereka untuk tujuan memproses arahan kecerdasan buatan, dan telah berkata bahawa beliau akan melaburkan 1 atau 50 bilion dolar untuk memastikan teknologi kecerdasan buatan dapat dimanfaatkan oleh orang ramai. -Amanz